PETUGAS Japerun Tanjung Bidara mengagihkan bahan makanan kepada penduduk yang menjalani kuarantin kendiri di empat kampung dalam mukim Sungai Baru Ilir. FOTO Hassan Omar.
PETUGAS Japerun Tanjung Bidara mengagihkan bahan makanan kepada penduduk yang menjalani kuarantin kendiri di empat kampung dalam mukim Sungai Baru Ilir. FOTO Hassan Omar.
Hassan Omar


Masjid Tanah: Kerajaan negeri terpaksa meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Kampung Lubuk Redan, di sini susulan peningkatan ketara kes positif Covid-19.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, langkah itu diambil bagi menghalang wabak itu dari terus merebak hingga mengancam 730 anggota komuniti di lokaliti itu.

Katanya, daripada 165 ujian saringan yang dilaksanakan di kampung itu baru-baru ini, 56 disahkan positif.

"Kes positif naik ketara dan ia membimbangkan kerajaan negeri. Tiada kaedah lain untuk membendungnya kecuali dengan melaksanakan PKPD mulai tengah malam ini hingga 29 Mei depan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, Mesyuarat Pengurusan Bencana Daerah mendapati kampung berkenaan menyumbang 34 peratus daripada keseluruhan kes positif Kluster Kampung Hilir di kawasan itu.

Beliau berkata, kes tercetus di sebuah rumah ibadat di Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru sebelum merebak ke Kampung Lubuk Redan.

Kampung Lubuk Redan adalah komuniti kedua dikenakan PKPD di negeri ini selepas PKPD pertama dilaksanakan di Kampung Permatang Tulang, Sebatu, Jasin, dari 7 Mei lalu hingga 20 Mei ini.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud berkata, sebanyak 147 keluarga yang menjalani kuarantin di kediaman masing-masing sudah diberikan keperluan makanan.

Katanya, petugas Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Tanjung Bidara, sudah mengagihkan bahan makanan seperti beras, tepung, susu, gula dan seumpamanya sejak semalam hingga hari ini.

Ia membabitkan penduduk di Kampung Seri Jeram, Pulau, Lubuk Redan dan Ujong Padang dalam mukim Sungai Baru Ilir bagi memastikan mereka tidak terputus bekalan makanan.

Katanya, keperluan makanan diletakkan di anjung kediaman penduduk bagi mengelakkan sebarang pertemuan dengan petugas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 12:23 PM