Muhammad Apendy Issahak


SEPULUH penunggang serta motosikal yang diubahsuai termasuk menggunakan tayar kecil dan tiada brek hadapan bagi mendapatkan kelajuan maksimum ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di sekitar bandar raya Ipoh, hari ini.

Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, JSPT Perak dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bermula 11 malam hingga 6 pagi.

Pegawai Turus Operasi Lebuhraya Zon Tengah A, Bukit Aman, Asisten Superintendan Nasyrul Ridzuan Abdul Razak berkata, operasi membabitkan enam pegawai dan 42 anggota dan dilaksanakan susulan aduan orang ramai berhubung kegiatan lumba haram terutama pada malam minggu di sekitar Ipoh.

Menurutnya, serbuan dijalankan di tiga lokasi berasingan membabitkan kawasan Falim, Jelapang dan Stesen 18 yang memberkas 10 lelaki berusia antara 19 hingga 27 tahun yang dikesan menunggang secara berbahaya dan berlumba haram.

 ANTARA motosikal yang dirampas. FOTO Muhammad Apendy Issahak
ANTARA motosikal yang dirampas. FOTO Muhammad Apendy Issahak

“Sebanyak 58 saman dikeluarkan terhadap kesemua mat rempit terbabit atas pelbagai kesalahan trafik antaranya mengubahsuai motosikal, tiada nombor pendaftaran kenderaan, tiada lesen dan banyak lagi.

“Antara motosikal yang ditahan adalah Yamaha model Y15ZR atau lebih dikenali dengan gelaran Y-suku yang sudah diubahsuai dan penunggangnya dikesan melakukan aksi ‘superman’ sekitar bandar raya ini.

“Motosikal lain yang ditahan untuk pemeriksaan adalah Honda EX5 dan Yamaha 125Z yang kesemuanya dipercayai sudah diubahsuai untuk kegiatan lumba haram,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Trafik IPD Ipoh, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan juga mendapati daripada 10 penunggang yang ditahan hanya dua sahaja yang memiliki lesen dan seorang daripada penunggang yang ditahan cedera pada tangan, kaki dan dagu akibat terjatuh sendiri ketika cuba melarikan diri daripada polis.

“JSPT Bukit Aman sering mendapat aduan awam berhubung kegiatan lumba haram di sekitar Ipoh dan susulan itu kami membuat perancangan terperinci dan bekerjasama dengan JSPT Perak dan BSPT Ipoh yang mensasarkan kegiatan mat rempit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 11:33 AM
ANTARA motosikal yang dirampas. FOTO Muhammad Apendy Issahak
ANTARA motosikal yang dirampas. FOTO Muhammad Apendy Issahak