Reezal Merican (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Sumbangan Kasih Ramadan Ceria Aidilfitri. FOTO Danial Saad
Reezal Merican (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Sumbangan Kasih Ramadan Ceria Aidilfitri. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil perhatian dengan lebih dekat berhubung isu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang digantung sementara oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata pihaknya melahirkan rasa prihatin terhadap isu penggantungan PSM, namun tidak dapat membuat keputusan atau mengeluarkan sebarang kenyataan lebih awal memandangkan isu berkenaan masih dalam proses perundangan.

"Kita dimaklumkan bahawa PSM melalui Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Ismail perlu mengemukakan surat tunjuk sebab dan alasan yang diminta pihak Astaf.

"Oleh itu, bagi pihak KBS biar proses ini selesai dahulu dan pada waktu sama kita akan melihat secara lebih dekat sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

"Tambahan pula, PSM juga adalah sebuah persatuan sukan yang masih sah di sisi undang-undang," katanya ketika diminta mengulas mengenai isu PSM yang digantung sementara oleh Astaf, baru-baru ini.

Terdahulu, Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas hadir pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kasih Ramadan Ceria Aidilfitri oleh Yayasan Salam Malaysia (Salam) dan syarikat Philip Morris Malaysia di Permatang Bertam, hari ini.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, buat masa ini tiada keperluan bagi pihak KBS memanggil PSM untuk memberi penjelasan berhubung isu yang berlaku.

"Ini kerana, setiap pengurusan sukan perlu diberikan kebebasan dan kerajaan tidak wajar untuk masuk campur supaya persatuan yang mengendalikan sukan ini terpelihara.

"Kita juga menghormati pihak Astaf yang membuat keputusan seumpama ini yang proses sama juga berlaku dalam badan sukan di peringkat kebangsaan mahupun dunia.

"Jadi, sebagai pihak yang mengendalikan aspek pembangunan sukan kita bersama pesuruhjaya sukan mengambil perhatian dengan lebih dekat namun tidak boleh membuat sebarang keputusan pada ketika ini," katanya.

Baru-baru ini, Astaf menggantung PSM daripada sebarang aktiviti sepak takraw kerana kegagalan Ahmad memberi jawapan terhadap empat pertuduhan yang dikenakan terhadap dirinya dalam tempoh 14 hari.

Setiausaha Agung Astaf, Boonchai Lorhpipat dilaporkan berkata, tindakan itu diambil kerana PSM gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan badan induk Asia itu dan bakal dikenakan hukuman termasuk penggantungan seumur hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 6:57 PM