OPERASI mencari dua kanak-kanak yang terjatuh ke dalam Sungai Kampung Rekoh dilakukan anggota  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). FOTO Ihsan pembaca
OPERASI mencari dua kanak-kanak yang terjatuh ke dalam Sungai Kampung Rekoh dilakukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). FOTO Ihsan pembaca
BERNAMA

Kuantan: Dua beradik dikhuatiri lemas selepas terjerumus ke dalam sungai apabila motosikal ditunggang ibu mereka hilang imbangan semasa melalui jambatan gantung Kampung Rekoh, di Rompin, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin Asisten Superintendan Mohd Isa Bidin berkata, operasi mencari Dhenis Maulida Puteri Masari, 7, serta adiknya Puteri Ramadhania Azzahra, 3, yang hilang dalam kejadian pada 11.15 pagi tadi sedang ditingkatkan.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika ibu mereka yang hanya dikenali sebagai Liswati, 37, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di sebuah ladang kelapa sawit di kawasan itu selepas mengambil Dhenis Maulida Puteri yang selesai sesi prasekolah di Sekolah Kebangsaan Keratong 1.

"Motosikal yang ditunggang mereka dikatakan hilang imbangan kira-kira lima meter lagi hendak sampai ke tebing menyebabkan ketiga-tiga mereka terjatuh, dan dua mangsa yang masih kecil terus terjerumus ke dalam sungai.

"Terdapat jaring yang dipasang pada kiri dan kanan jambatan gantung itu tetapi difahamkan akibat kurang penyelenggaran, terdapat lubang besar di beberapa tempat sepanjang jambatan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Isa berkata, jambatan itu sering digunakan penduduk setempat sebagai laluan pintas memandangkan jalan raya agak jauh, dan difahamkan ibu mereka terselamat dalam kejadian itu apabila dia tersangkut di jaring.

Katanya operasi mencari dan menyelamat kini dijalankan oleh 30 pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 10:18 PM