ANGGOTA bomba terpaksa menggunakan bot untuk ke lokasi kejadian wanita dihanyut arus deras. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba terpaksa menggunakan bot untuk ke lokasi kejadian wanita dihanyut arus deras. FOTO ihsan Bomba
Khairulmizan Yahya


Rompin: Seorang wanita dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi jambatan gantung Kampung Aur, Bukit Ibam, dekat Muadzam Shah, di sini, pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Nur Hafizah Zailan, 23, dan tinggal di alamat Lorong Gangsa 2, Bukit Ibam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10.38 pagi.

"Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah terima aduan insiden dari Balai Polis Bukit Ibam mengenai mangsa lemas selepas dihanyutkan air ketika menyeberangi jambatan gantung.

"Susulan itu, lapan anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian dengan pacuan empat roda serta membawa sebuah bot untuk tujuan mencari dan menyelamat (SAR)," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergerak ke lokasi kejadian dan perjalanan terpaksa melalui laluan darat dan air kerana kejadian banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 3:05 PM