Hazira Ahmad Zaidi


Machang: "Saya reda dengan ujian ini dan akan menjaga amanah Allah ini sebaik mungkin selagi kudrat masih ada," kata Siti Zubaidah Mohd Ali, 57, ibu kepada Nur Athirah Najihah Ibrahim, 19, yang menghidap Cerebral Palsy (CP) atau kelumpuhan otak.

Siti Zubaidah yang juga ibu tunggal berkata, Nur Athirah Najihah yang juga anak bongsu daripada empat beradik disahkan menghidap penyakit itu sejak berusia sembilan bulan dan keadaan itu menyebabkan dia hanya terlantar di atas katil.

Lebih menyedihkan, Nur Athirah Najihah juga tidak boleh bercakap dan hanya berkomunikasi melalui kerdipan mata.

Menurutnya, anaknya dilahirkan ketika usia kandungan tujuh bulan dengan berat 0.8 kilogram (kg) dan terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian lebih dua bulan.

"Bagaimanapun, ketika Nur Athirah Najihah berusia sembilan bulan, saya sekali lagi diuji apabila dia mengalami demam dan batuk berpanjangan sehinggalah doktor mengesahkan terdapat jangkitan kuman di otak sebelah kiri.

"Bagi mengelakkan jangkitan lebih serius, pada awal 2003, anak saya perlu menjalani pembedahan di USM Kubang Kerian bagi membuang sebahagian otak sebelah kirinya yang sudah dijangkiti kuman," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Pangkal Changgong, Machang, di sini, semalam.

Terdahulu keluarga berkenaan dikunjungi Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) dengan kerjasama The Grand Renai Hotel yang menyampaikan sumbangan sempena program Kita Kongsi.

Sumbangan barang keperluan dan wang tunai disampaikan Presiden Kemudi, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi dan Pengarah Jualan dan Pemasaran The Grand Renai Hotel, Raja Rusmin Datuk Raja Mahmud.

Mengulas lanjut, Siti Zubaidah berkata, tidak beberapa lama selepas pembedahan, anaknya sering mengalami serangan sawan menyebabkan doktor terpaksa mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan kali kedua bagi menyelamatkan nyawanya dan terpaksa berkampung di hospital selama dua tahun sebelum dibenarkan pulang.

"Jangkitan kuman pada otak kiri menyebabkan dia kini hanya mampu terlantar selain perlu diuruskan seperti bayi.

"Sebagai ibu, sudah pasti saya merindui panggilan 'mak' keluar daripada mulut Nur Athirah Najihah, namun memahami perkara itu adalah sangat mustahil," katanya.

Siti Zubaidah berkata, selepas kematian arwah suaminya, Ibrahim Abdul Rahman 11 tahun lalu disebabkan serangan jantung, dia kini terpaksa menggalas tanggungjawab menjaga Nur Athirah Najihah bersendirian.

"Walaupun perlu menjaga dan menguruskan Nur Athirah Najihah seorang diri, namun saya tidak pernah mengeluh meskipun pada masa sama turut menghidap penyakit kencing manis, darah rendah selain masalah saraf dari paras pinggang ke bawah.

"Walaupun saya mempunyai tiga anak, namun seorang daripada mereka sudah meninggal dunia tahun lalu dan dua lagi menderita sakit. Mereka juga tidak bekerja selain perlu bergantung harap kepada pasangan masing-masing untuk meneruskan kelangsungan hidup," katanya.

Katanya, bagi meneruskan kelangsungan hidup, dia membuka kedai menjual jeruk di hadapan rumah sejak awal tahun ini bagi mencari pendapatan tambahan untuk menampung keperluan anak istimewanya selain untuk makan dan minum mereka dua beranak.

"Untuk perbelanjaan Nur Athirah Najihah, saya perlu memperuntukkan lebih RM1,000 untuk membeli keperluannya terutamanya lampin pakai buang dan mujurlah anak saya mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung," katanya.

SITI Zubaidah menjaga  Nur Athirah Najihah Ibrahim. FOTO Nik Abdllah Nik Omar.
SITI Zubaidah menjaga Nur Athirah Najihah Ibrahim. FOTO Nik Abdllah Nik Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 10:49 AM