MENDAPAN dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa dari kilang berhampiran Taman Industri Seri Juru, Simpang Ampat, di sini, sekali gus mencemarkan saliran air dan sungai di sekitarnya. FOTO IHSAN SAM
MENDAPAN dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa dari kilang berhampiran Taman Industri Seri Juru, Simpang Ampat, di sini, sekali gus mencemarkan saliran air dan sungai di sekitarnya. FOTO IHSAN SAM
Zuhainy Zulkiffli


Juru: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak berkuasa berkaitan melakukan siasatan terhadap status kilang yang beroperasi di Taman Industri Seri Juru, Simpang Ampat, di sini.

Ia berikutan terdapat keraguan terutama mengenai lesen, status pemilikan tanah dan sistem perparitan sama ada sisa buangan dilepaskan mereka terawat atau sebaliknya.

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, tinjauan mendapati kilang beroperasi di kawasan itu kebanyakannya dalam kategori industri berat dan segelintir daripadanya tidak mempamerkan papan tanda kilang.

Beliau berkata, terdapat lambakan bungkusan sisa plastik di kilang berkenaan dan ia mungkin bagi dijadikan bahan proses kitar semula.

"Tidak dapat dipastikan sama ada ia plastik import atau tidak, namun bungkusan besar plastik terdapat dalam ruang dalaman premis berkenaan dapat dilihat dengan jelas dari luar.

"Air parit di kawasan industri itu bertukar warna kehitaman dan berbau busuk seolah-olah dicemari dengan buangan sisa kumbahan tidak dirawat dan bahan pencemar lain," katanya di sini, hari ini.

Meenakshi berkata, terdapat parit besar di situ yang menjadi penghubung utama bagi sebahagian longkang atau parit kecil, manakala berhampiran tapak industri itu pula mempunyai beberapa kolam ternakan akuakultur.

Katanya, mendapan lumpur dapat dilihat jelas apabila air surut dan pihak berkuasa berkenaan perlu menyiasat kewujudan lumpur itu sama ada berpunca daripada aktiviti akuakultur atau sebaliknya kerana air tercemar secara langsung mengalir ke muara Sungai Jawi apabila pintu air dibuka.

"SAM bimbang kualiti air di kawasan itu dan di muara sungai berdekatan akan memberi kesan terhadap hidupan marin, menyebabkan masyarakat nelayan terjejas.

"Beberapa pemancing ditemui mendakwa sering melihat air berwarna hitam pekat memasuki ruangan pintu air dan seterusnya dilepaskan ke dalam Sungai Jawi," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, SAM menggesa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran, Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) memberi perhatian memandangkan kawasan itu agak terpencil dan mungkin berlaku kegiatan haram.

Menurutnya, tindakan bertepatan dengan undang-undang perlu diambil sekiranya didapati industri berkenaan melakukan operasi haram hingga mencemarkan sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 1:59 PM