Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kehadiran dua replika setinggi 1.8 meter menyerupai Jambatan Angkat atau drawbridge menyebabkan gerai diusahakan Zulkalmul Hakem Mat Zin, 33, di bazar Ramadan Dataran Shah Bandar di sini, menarik perhatian orang ramai.

Dengan mempertaruhkan hidangan dinamakan Nasi Biryani Drawbridge TRG (Terengganu), percaturan Zulkalmul Hakem nyata membuahkan hasil apabila berjaya menjual lebih 200 bungkus setiap hari dengan setiap bungkus berharga RM10.

Zulkalmul Hakem yang sudah lima tahun berniaga di bazar berkenaan memaklumkan ini adalah tahun pertama dirinya menjual Nasi Biryani Drawbridge TRG yang dihasilkan mengikut resipi keluarga.

ZULKALMUL (kanan) dan Mas Eniky Zakaria  menjual Nasi Biryani Drawbridge TRG (Terengganu) di Bazar Ramadan Taman Syahbandar, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
ZULKALMUL (kanan) dan Mas Eniky Zakaria menjual Nasi Biryani Drawbridge TRG (Terengganu) di Bazar Ramadan Taman Syahbandar, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori

"Bagi menjadikan nasi ini istimewa, saya menempah khas dua pengukus setinggi 1.8 meter dengan kos lebih RM4,000.

"Cara yang digunakan nyata membuatkan hidangan ini lebih istimewa kerana ia bukan menggunakan beras basmathi, tetapi dikukus menggunakan pengukus bagi menghasilkan rasa lebih enak.

"Memang saya sengaja tempah pengukus seperti drawbridge sebagai simbolik kepada jambatan angkat yang menjadi ikon kebanggaan Terengganu," katanya.

Katanya, dia amat bersyukur kerana menerima sambutan sangat menggalakkan daripada pelanggan apabila berjaya menjual lebih 200 bungkus setiap hari.

BERAS nasi biryani dikukus lebih terdahulu bagi menghasilkan rasa yang lebih enak. FOTO Ghazali Kori
BERAS nasi biryani dikukus lebih terdahulu bagi menghasilkan rasa yang lebih enak. FOTO Ghazali Kori

Selain Nasi Biryani Drawbridge TRG, Zulkalmul Hakem turut menjual Nasi Ayam Gepuk Viral dengan empat pilihan sambal iaitu Sambal Original (paling pedas), Sambal Kicap, Sambal Ijoy (hijau) dan Sambal Ebiy (tomyam) yang dijual dengan harga RM8.90.

Pelanggan, Nur Ahsha Nathyirah Hasbie, 26, berkata, dia tertarik untuk mencuba hidangan berkenaan selepas melihat ia tular di laman sosial.

"Saya memang suka nasi biryani dan memang puas hati sebab bukan sahaja rasanya yang sedap, malah harganya juga berpatutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 7:05 AM