Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengambil inisiatif membangunkan aplikasi MyWIRA khusus bagi akses pantas ke akaun caruman kepada semua pencarumnya pada bila-bila masa tanpa perlu hadir ke kaunter.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kewujudan aplikasi itu adalah langkah yang baik untuk mendekati kumpulan sasar iaitu pencarum LTAT walau di mana mereka berada.

"Pada era kini, orang ramai lebih cenderung menggunakan aplikasi dalam talian untuk melaksanakan transaksi seperti i-Akaun yang dibangunkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Malaysia (KWSP) atau THiJARI yang dibangunkan oleh Lembaga Tabung Haji dengan memberi fokus kepada urus niaga dalam talian.

"Saya difahamkan melalui aplikasi ini, pencarum LTAT boleh melakukan semakan kadar dividen yang mereka perolehi serta jumlah dividen diagihkan pada tahun sebelum.

"Dengan adanya kemudahan ditawarkan melalui aplikasi MyWIRA ini, pencarum LTAT tidak perlu hadir ke kaunter pejabat, menggunakan kemudahan e-Kiosk ataupun melalui laman sesawang LTAT," katanya pada Majlis Pelancaran Aplikasi MyWIRA di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

KOPERAL Udara (W) Norshuhada Mohamad, 30, menunjukkan aplikasi MyWIRA ketika majlis pelancaran. FOTO Hairul Anuar Rahim
KOPERAL Udara (W) Norshuhada Mohamad, 30, menunjukkan aplikasi MyWIRA ketika majlis pelancaran. FOTO Hairul Anuar Rahim

Turut hadir pada majlis itu adalah Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin; Panglima Angkata Tentera, Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Laut, Laksmana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad; dan Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Katanya, semua pencarum LTAT sama ada pencarum wajib atau pencarum sukarela disarankan untuk menggunakan sepenuhnya perkhidmatan ditawarkan seperti melihat makluman akaun caruman, memeriksa status permohonan pengeluaran dan lain-lain akses maklumat disediakan.

Sementara itu, Mohd Zahidi berkata, MyWIRA adalah aplikasi yang dihasilkan secara dalaman untuk memberi maklumat secara digital kepada pencarum LTAT tanpa mereka perlu datang ke pejabat LTAT.

"Kami mensasarkan 80 peratus daripada semua pencarum yang terdiri daripada semua angkatan tentera mendaftar bagi aplikasi ini pada tahun ini.

"Aplikasi ini membolehkan pencarum memperoleh maklumat berkaitan caruman mereka dengan mudah melalui perkhidmatan yang ditawarkan seperti maklumat caruman serta permohonan pengeluaran caruman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 6:08 PM