ANTARA aksi berbahaya dilakukan individu yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur, awal pagi tadi. FOTO ihsan Polis
ANTARA aksi berbahaya dilakukan individu yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur, awal pagi tadi. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 11 individu termasuk seorang remaja perempuan ditahan dalam Operasi (Ops) Samseng Jalanan di beberapa lokasi sekitar ibu kota ini, awal pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, 18 pegawai dan anggotanya terbabit operasi selama tiga jam itu yang bermula pada 1 pagi di Jalan Genting Klang; Jalan Ampang; Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Jalan Sungai Besi.

"Dalam operasi ini, kami menahan lapan penunggang serta tiga pembonceng motosikal berusia antara 17 hingga 27 tahun yang didapati merempit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, mereka didapati menunggang motosikal secara berbahaya dan melakukan aksi seperti roket, zig zag, wheelie dan bersaing sesama sendiri.

Katanya, individu terbabit antaranya bekerja sebagai penghantar makanan, pengawal keselamatan, penuntut kolej, pekerja restoran dan kakitangan kerajaan.

"Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu dan membuat aksi membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain," katanya.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan di Jalan Genting Klang berikutan menunggang Yamaha 135LC tanpa menggunakan nombor pendaftaran seperti ditetapkan.

Katanya, lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 9:19 AM