Sithambaram tiba di pekarangan mahkamah berkaitan kes rayuan sabitan dan hukuman penjara terhadap Najib berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Foto Mohd Fadli Hamzah
Sithambaram tiba di pekarangan mahkamah berkaitan kes rayuan sabitan dan hukuman penjara terhadap Najib berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Foto Mohd Fadli Hamzah
BERNAMA

Putrajaya: Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram hari ini memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak mengembalikan sebahagian 'derma Arab' kononnya kepada pengirim tanpa sebarang penjelasan atau surat ucapan terima kasih menunjukkan derma Arab itu adalah satu penipuan.

Beliau berkata, jika itu adalah sumbangan daripada Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud mengapa ia harus dikembalikan kepada sebuah syarikat yang dikenali sebagai Tanore Finance Corp.

"Raja itu tidak pernah meminta wang itu dikembalikan. Malah, perayu (Najib) berkata wang itu didermakan oleh Raja Arab Saudi untuk memastikan Malaysia boleh menjadi model negara Islam yang stabil dan moden.

"Adalah 'benar-benar pelik' bagi Najib untuk memulangkan derma sebanyak RM2.6 bilion (620 juta dolar Amerika Syarikat) daripada Raja kepada sebuah syarikat.

"Ini adalah cubaan terdesak untuk menyokong kes pembelaan. Najib, dalam keterangannya, menyatakan ia adalah ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho yang memintanya memulangkan duit itu kepada Tanore," katanya.

Sithambaram berkata, Najib memberi keterangan bahawa akan ada konotasi politik jika wang itu kekal dalam akaun peribadinya di AmBank.

"Yang Arif, tiada bukti bahawa Raja memberikan wang ini. Ia adalah pembelaan terdesak.

"Jika saya memberikan anda derma dan anda memulangkannya, saya akan menganggapnya sebagai satu penghinaan kerana saya beri anda derma untuk tujuan yang baik.

"(Anda kata ia sudah dikembalikan) Tetapi wang itu dipindahkan ke Tanore. Saya tidak tahu apakah kaitan Raja dengan syarikat itu," katanya sambil menambah malah Kabinet tidak tahu mengenai derma itu.

Tambah Sithambaram penelitian rapi terhadap keterangan Najib menunjukkan terdapat keraguan jika kononnya pertemuan dengan Raja benar-benar berlaku dan sama ada Raja itu menjanjikan sokongan kewangan kepadanya.

"Najib hanya menyatakan bahawa Raja itu menjanjikan sokongan tetapi menjelaskan beliau hanya dimaklumkan oleh Low pada pertengahan 2010 bahawa Raja itu bersetuju untuk memberikan sokongan kewangan," katanya.

Sithambaram berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam prosiding rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana penyalahgunaan dana SRC International sebanyak RM42 juta.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan CBT, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 6:13 PM