GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Lapan kawasan di Klang, Selangor mengalami gangguan bekalan elektrik berikutan Pencawang Masuk Utama (PMU) Meru terbakar, hari ini.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) Careline menerusi Facebook berkata, kawasan terjejas adalah Bandar Puncak Alam, Taman Alam Sutera, Taman Alam Suria, Kampung Bukit Hijau, Kampung Bukit Cherakah, Bandar Hillpark, Astana Alam 2 dan Kuala Selangor.

Katanya, pasukan teknikal sedang berada di lokasi untuk kerja membaik pulih bekalan elektrik.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5 pagi.

Beliau berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian di Jalan Felda 2 Puncak Alam.

"Setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan kabel pencawang elektrik utama.

"Kebakaran itu juga tidak membabitkan mangsa atau struktur bangunan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 10:46 AM