IZHAM (kanan) membantu sukarelawan menyediakan makanan untuk mangsa banjir. FOTO RUWAIDA MD ZAIN
IZHAM (kanan) membantu sukarelawan menyediakan makanan untuk mangsa banjir. FOTO RUWAIDA MD ZAIN
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sebanyak 400 pencawang elektrik di Selangor masih tidak dapat berfungsi ekoran banjir susulan hujan lebat sejak Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya menerusi pertemuan dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), semalam.

"Masalah utama adalah bekalan elektrik, semalam perbincangan (TNB memaklumkan) daripada kira-kira 1,000 pencawang elektrik di seluruh Selangor, 400 masih belum dapat dihidupkan balik.

"Jumlah itu sangat banyak, ia memberikan kesan (terputus bekalan elektrik) kepada kawasan perumahan, kilang, pam air sejak beberapa hari lalu.

"Ramai buat aduan sebab semua operasi guna bekalan elektrik termasuk bekalan air, loji banyak tutup sebab bekalan elektrik terganggu, begitu juga talian komunikasi," katanya ketika ditemui pada program Dapur Rakyat untuk mangsa banjir di Pejabat Ahli Majlis Zon 3 Shah Alam di Seksyen 7, di sini, hari ini

Izham berkata, satu mesyuarat akan diadakan esok bagi memperincikan perkara itu dengan pihak berkaitan.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri kini dalam usaha menggerakkan pelan pasca banjir membabitkan pembersihan rumah dan infrastruktur di kawasan terjejas.

"Tumpuan kita pada kerja fasa kedua iaitu pembersihan, ia bukan kerja mudah terutama disebabkan kali ini banjir agak serius.

"Jadi kerajaan negeri akan menyediakan peralatan pam khas untuk membersihkan lokasi banjir yang sudah pulih seperti "water jet'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 6:23 PM