TANGKAP layar video iklan judi online.
TANGKAP layar video iklan judi online.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menahan empat individu yang dipercayai menjadi pelakon dalam video terbaru iklan lagu raya yang mempromosikan kegiatan judi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, semua pelakon terbabit ditahan petang semalam di Ampang.

"Empat individu terbabit kini direman selama dua hari bermula hari ini sehingga esok.

"Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana terbabit dalam sebaran video mempromosikan perjudian dalam talian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan satu lagi video iklan lagu raya yang mempromosikan kegiatan judi tular di media sosial.

Video itu tular selepas video pertama yang juga menggunakan modus operandi yang sama bagi menarik pelanggan dalam kalangan umat Islam.

Rakaman video lagu raya berkenaan memaparkan aksi lakonan serta nyanyian oleh seorang lelaki dan seorang wanita yang mempromosikan satu permainan judi.

Susulan itu, polis kini sedang mengesan lelaki dipercayai menjadi dalang utama pembikinan dua video iklan lagu raya yang mempromosi kegiatan perjudian.

Lelaki berusia 35 tahun dikenali sebagai Loh Kee Hoe beralamat terakhir di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 12:13 PM