Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Suasana di sekitar bandar Kota Bharu pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit lengang dan hanya segelintir masyarakat yang keluar untuk meneruskan rutin seperti biasa namun dalam keadaan yang terkawal.

Tinjauan NSTP di beberapa jalan utama masih lagi dipenuhi kenderaan, namun kurang sesak seperti biasa berikutan pelaksanaan PKP yang melarang perjalanan rentas daerah.

Sementara, di Pasar Besar Siti Khadijah pula orang ramai dilihat sibuk membeli barang keperluan harian untuk kegunaan dalam tempoh beberapa hari.

Peniaga ikan, Nordin Idris, 68, berkata, sejak 1 Ramadan lalu masyarakat mula sibuk membuat persediaan bagi menyambut bulan mulia itu termasuklah membeli barangan keperluan asas dan barang basah, namun pada hari ini pengunjung lebih ramai daripada kebiasaannya.

"Kebanyakan mereka datang ke pasar adalah mereka yang tinggal di sekitar Kota Bharu untuk membeli bahan mentah dan barang basah untuk dijadikan 'stok' dalam tempoh dua hingga tiga hari kerana tidak mahu keluar terlalu kerap sebaik PKP mula dilaksanakan.

SUASANA di sekitar bandar Kota Bharu pada hari pertama pelaksanaan PKP. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
SUASANA di sekitar bandar Kota Bharu pada hari pertama pelaksanaan PKP. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

"Bagaimanapun, pengunjung di pasar tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan fizikal," katanya ketika di temui di Kota Bharu, di sini, hari ini.

Sementara itu, pesara kerajaan, Ahmad Zaidi Mohd Noor, 52, berkata, walaupun sedikit kelonggaran diberikan kerajaan berbanding PKP sebelum ini, namun itu tidak bermakna orang ramai boleh bebas keluar sesuka hati tanpa tujuan.

"Jika ada yang saja-saja nak keluar tanpa urusan penting, saya rasa tidak perlulah sebaliknya lebih baik duduk di rumah kerana tujuan PKP dilaksanakan adalah untuk mengelak penularan Covid-19 di negeri ini.

"Saya harap masyarakat dapat patuh SOP dan arahan kerajaan supaya usaha semua pihak menurunkan kadar jangkitan Covid-19 mencapai kejayaan," katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKP di tujuh daerah di negeri ini berkuat kuasa hari ini hingga 29 April berikutan peningkatan kes Covid- 19.

Daerah yang terbabit adalah Kota Bharu, Bachok, Machang, Pasir Puteh, Pasir Mas, Bachok, Tumpat dan Tanah Merah.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 12:54 PM