ZAKARIA Awang Ibrahim, 49, merenung keadaan air yang melimpahi kawasan SK Temai, Pekan. Tingkat atas sekolah itu dijadikan PPS. FOTO Bernama
ZAKARIA Awang Ibrahim, 49, merenung keadaan air yang melimpahi kawasan SK Temai, Pekan. Tingkat atas sekolah itu dijadikan PPS. FOTO Bernama
Muhaamad Hafis Nawawi


Padang Terap: Kementerian Pendidikan menjangkakan nilai kerosakan infrastruktur sekolah akibat banjir gelombang kedua mencecah berpuluh juta ringgit.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, banjir gelombang kedua ini menyebabkan sekolah di Kelantan, Terengganu, Sabah, Perak, Pahang dan Johor terjejas teruk.

Menurutnya, nilai kerosakan banjir gelombang pertama Disember 2016 membabitkan Kelantan, Terengganu dan Sabah mencecah kira-kira RM10 juta.

"Kementerian sudah menghantar waran peruntukan (sekolah terjejas banjir gelombang pertama) namun belum sempat dibaiki lagi sebelum banjir gelombang kedua melanda semula.

"Bagi banjir gelombang kedua pula kita masih belum mendapat nilai taksiran kerosakannya.

“Namun melebihi nilai banjir gelombang pertama," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan 50 Tahun Jubli Emas Felda Lubuk Merbau, di sini, hari ini.

Sehingga ini, katanya, masih ada sekolah yang ditutup akibat banjir namun tidak ada masalah serius kerana ketika ini sekolah sedang bercuti.

Mengulas mengenai sambutan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, Felda Lubuk Merbau adalah Felda kedua terbesar di negara ini membabitkan 769 peneroka dan lebih 1,000 buah rumah.

"Pihak pengurusan Felda juga sudah ada perancangan bagaimana untuk menguruskannya bagi tempoh 50 tahun akan datang bagi memastikan pembangunan berterusan.

"Selain itu, kuarters guru yang dibina sejak 1970-an ada yang sudah tidak digunakan lagi dan terbiar dicadangkan diberikan kepada Felda untuk membangunkan perumahan kepada generasi kedua," katanya.

Beliau berkata, sebagai Menteri Pendidikan, beliau membenarkan kuarters guru itu yang tidak digunakan dirobohkan dan dibina semula rumah buat generasi kedua Felda.

"Kuarters ini dulu dibina supaya guru yang mengajar sekolah rendah dan menengah Lubuk Merbau. Namun, sekarang dengan kemudahan jalan dan infrastruktur Felda yang bertambah baik menyebabkan guru tinggal luar dari kawasan ini.

"Kini hanya tinggal satu atau dua kuarters guru masih digunakan dan dengan itu saya membenarkan Felda mengambil alih kuarters itu untuk membina rumah buat generasi kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 8:31 PM