JOACHIM (tiga kiri) menyaksikan pertukaran MoU di antara wakil Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah dengan UiTM Sabah.  FOTO Ihsan Kementerian Pembangunan Perindustrian negeri.
JOACHIM (tiga kiri) menyaksikan pertukaran MoU di antara wakil Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah dengan UiTM Sabah. FOTO Ihsan Kementerian Pembangunan Perindustrian negeri.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah untuk membangunkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021 - 2025.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, kerjasama itu menjadi pelengkap kepada usaha dan inisiatif yang disediakan kerajaan dalam membangunkan sektor perindustrian negeri, khususnya membabitkan usahawan PKS tempatan.

Beliau berkata, pembabitan institusi pengajian tinggi seperti UiTM dalam membantu membangunkan bidang keusahawanan sangat diperlukan memandangkan setiap institusi terbabit memiliki kepakaran masing-masing yang boleh dimanfaatkan untuk mengembangkan sektor perindustrian negeri.

"Sektor perindustrian dan pembangunan keusahawanan adalah antara agenda yang diberi penekanan dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025. Bagi menjayakan pelan pembangunan ini, Kementerian Pembangunan Perindustrian sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada agensi dan institusi berkaitan.

"Justeru itu, kerajaan negeri, khususnya Kementerian Pembangunan Perindustrian negeri amat berbesar hati menerima UiTM Sabah sebagai rakan strategik untuk bersama-sama membangunkan usahawan PKS di negeri ini," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama strategik di antara Kementerian Pembangunan Perindustrian negeri dengan UiTM Sabah, di sini, hari ini.

MoU itu ditandatangani Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian negeri, Thomas Logijin, manakala Rektor UiTM Sabah, Prof Madya Datuk Dr Abdul Kadir Rosline mewakili UiTM.

Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri berkata, sebagai langkah awal kerjasama itu, kementeriannya menyediakan geran bernilai RM40,000 kepada UiTM Sabah untuk menjayakan program 'The Novice' yang dilaksanakan universiti itu untuk melahirkan usahawan dalam kalangan penuntutnya.

"Saya berharap, melalui geran yang disediakan kementerian, pelaksanaan program seperti ini bukan saja dapat melahirkan usahawan dalam kalangan penuntut malah menjadi pencipta kerja kepada masyarakat setempat melalui perniagaan yang akan diusahakan.

"Ia adalah satu pelaburan jangka panjang yang bukan saja memberi manfaat kepada penuntut, malah masyarakat keseluruhannya. Pihak universiti bukan saja melahirkan graduan akademik malah membantu mereka mendapat peluang pekerjaan selepas tamat pengajian," katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga sangat menghargai sokongan yang diberikan oleh pihak universiti bagi menjayakan pelbagai usaha dan inisiatif ke arah membangunkan sektor PKS dan ekonomi Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 12:35 PM