NOH
NOH

BANK Rakyat menyasar melahirkan bangsa usahawan seiring aspirasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menerusi pelaksanaan pelbagai program latihan selain menyediakan pembiayaan untuk golongan sasaran.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, kementerian terus merancang pelan tindakan dalam masa terdekat bagi memandu, mengurus dan melahirkan bangsa usahawan menerusi kerjasama pelbagai institusi dan agensi khususnya di bawah Medac.

"Tumpuan kementerian juga lebih menjurus kepada usaha membantu empat kumpulan sasar yang pada masa ini terjejas susulan pandemik Covid-19 antaranya usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan diberhentikan kerja dan mahasiswa tiada pekerjaan tetapi ingin menjadi usahawan serta koperasi.

"Ini inisiatif Medac sebagai menzahirkan pencapaian seawal tempoh 100 hari pertama dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan dan koperasi yang secara tidak langsung membina Keluarga Malaysia yang inklusif agar kemakmuran boleh dinikmati semua pihak," katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2021 yang diadakan secara maya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menghimpunkan 910 perwakilan individu dan koperasi di seluruh negara, kelmarin.

Sebagai agensi di bawah Medac, Bank Rakyat menyediakan pelbagai program dan bantuan kewangan kepada individu, usahawan mikro dan PKS seperti RAKYATpreneur, UNIpreneur, kempen BR Cares dan Biz-Lady.

Selain itu, Bank Rakyat turut menawarkan Bantuan Bayaran Pembiayaan Pemulih tanpa menjejaskan laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) pelanggan.

Bantuan kewangan kepada sektor koperasi juga disediakan menerusi program BR Flex-i, Pembiayaan Perniagaan Ar-Rahnu, Pembiayaan Modal Kerja untuk Koperasi Kredit dan Pembiayaan Premis Perniagaan serta Pembiayaan Pakej Khas untuk Koperasi yang menjadi anggota Bank Rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 7:15 AM