LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Seramai 36 pengarah dan pengurus syarikat yang ditahan polis di enam negeri menerusi Op Kartel Daging yang dilaksanakan pada 9 April lalu dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Md Yusof Ahmad berkata, kesemua mereka dibebaskan selepas tempoh reman selama sehari tamat, namun siasatan masih dijalankan.

"Kita sudah mengambil keterangan mereka, dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 120b Kanun Keseksaan. Kita siasat banyak sudut membabitkan ramai individu.

"Kini polis dalam proses untuk melengkapkan siasatan. Sekiranya sudah memperoleh maklumat mencukupi, kita akan tuduh," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Op Kartel Daging yang dilaksanakan Jumaat lalu menahan seramai 34 pengarah syarikat dan dua pengurus syarikat yang terdiri daripada 26 lelaki dan 10 wanita berusia 28 hingga 67 tahun.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor, mendedahkan pakatan jahat itu membabitkan 19 syarikat yang berkomplot mengedar daging import sejuk beku dari Brazil melebihi had permit.

Syarikat terbabit turut menggunakan kotak berlogo halal palsu bagi mengelirukan penjual.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 7:59 PM