GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melanjutkan tempoh tawaran diskaun 50 peratus melalui pembayaran saman menerusi aplikasi MyBayar Saman sehingga 15 April ini.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, lanjutan tawaran selama empat hari itu dilakukan susulan sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang membuat pembayaran saman menerusi aplikasi berkenaan.

"Sejak dimulakan pada 25 Mac lalu dan sehingga hari ke-18 tawaran pada 11 April, kami berjaya mengumpul RM73.3 juta bayaran saman membabitkan 659,998 saman.

"Jumlah itu termasuk RM6.28 juta bayaran saman membabitkan 56,909 saman yang dijelaskan menerusi aplikasi berkenaan.

"Berikutan sambutan menggalakkan, kami akan melanjutkan tawaran diskaun 50 peratus ini selama empat hari lagi sehingga 15 April ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, seramai 708,030 pengguna sudah berdaftar dengan aplikasi berkenaan serta 5,340 aduan e-mel terkumpul.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador merasmikan pelancaran portal dan aplikasi mobil MyBayar Saman pada 25 Mac lalu bagi membolehkan orang ramai membuat pembayaran saman secara dalam talian.

Menurutnya, JSPT turut menawarkan diskaun sehingga 50 peratus sempena Sambutan Hari Polis ke-214 bagi pembayaran dibuat melalui aplikasi berkenaan selama 18 hari bermula 25 Mac hingga 11 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 10:57 AM