Laporan Harian Metro semalam.
Laporan Harian Metro semalam.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis berjaya menahan pemandu kereta yang melarikan diri ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Kajang dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, suspek adalah lelaki warga Nigeria dan ditahan di pekarangan kawasan parkir di Jalan Ikram-Uniten.

"Suspek ditahan kira-kira empat jam selepas melarikan diri dari SJR berkenaan.

"Pemeriksaan awal mendapati lelaki Nigeria itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini hingga 14 April bagi melengkapkan siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini diminta tampil membantu polis dengan menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, Sarjan Mohd Shafiq Zahari di talian 011-11244128.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Semalam, polis mengesan pemandu sebuah kereta yang melarikan diri ketika melalui SJR di Plaza Tol Kajang.

Kejadian berlaku pada 2 petang ketika anggota bertugas di SJR dimaklumkan oleh orang awam bahawa sebuah kereta enggan melalui sekatan dan cuba berpatah balik.

Dalam kesesakan lalu lintas, anggota polis pergi ke arah kereta terbabit dan mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan.

Berita berkaitan

Pemandu kereta lari sekatan jalan raya diburu

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 6:17 PM