GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri akan meneruskan penganjuran bazar Ramadan di negeri ini kecuali di Besut susulan peningkatan kes Covid-19 di daerah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata, terdapat cadangan supaya bazar Ramadan di Besut dibatalkan, tetapi ia masih dalam perundingan dan pertimbangan.

"Peniaga memang nak berniaga, manakala pihak berkaitan pula nak lindungi kita daripada penularan Covid-19.

"Jadi sekarang kita masih mempertimbangkan cadangan penutupan bazar Ramadan di Besut.

"Keputusan belum dimuktamadkan dan perlu diperinci sebaik mungkin. Jika ada alasan yang wajar kita akan batalkan bazar Ramadan di Besut," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status pembukaan bazar Ramadan susulan peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini.

Alias berkata, sebanyak 69 bazar Ramadan membabitkan 4,326 petak niaga akan beroperasi pada tahun ini termasuk 10 bazar Ramadan dengan 292 petak niaga di Besut.

"Prosedur operasi standard (SOP) sudah ditetapkan sepanjang bazar Ramadan beroperasi dengan waktu niaga bermula 3 petang sehingga 8 malam dan terhad kepada dua peniaga untuk setiap gerai.

"Ia membabitkan pengambilan suhu badan, penggunaan cecair pensanitasi dan pelitup muka, manakala pengunjung yang bergejala seperti batuk dan selsema tidak dibenarkan masuk," katanya.

Katanya, pihaknya berharap pengunjung bazar Ramadan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelak penularan wabak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 5:36 PM