Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seorang datuk didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap cucu kandungnya, Mac lalu.

Bagaimanapun, warga emas berusia 74 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Dalam pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas cucu kandungnya berusia lapan tahun dengan membuatkan kanak-kanak itu menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak itu sendiri.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas cucunya itu dengan menggunakan jarinya.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Impian Emas, Skudai, di sini, pada 6 petang, 6 Mac lalu.

Warga emas itu didakwa mengikut Seksyen 14 (c) dan Seksyen 14 (d)Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

LELAKI didakwa melakukan amang seksual terhadap cucu kandungnya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini, hari ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
LELAKI didakwa melakukan amang seksual terhadap cucu kandungnya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini, hari ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh atas keselamatan mangsa selain warga emas itu tinggal serumah dengan cucunya itu.

Bagaimanapun, warga emas itu ketika membuat rayuan, memohon supaya mahkamah menawarkan jaminan yang rendah berikutan beliau tidak mampu membayar wang jaminan tinggi kerana tiada pekerjaan.

Hakim kemudian memutuskan tiada jaminan diberikan terhadap warga emas itu kerana dibimbangi dia akan mengganggu mangsa.

Warga emas itu turut diperintahkan ditahan di Penjara Ulu Choh sehingga kesnya disebut semula.

Hakim menetapkan sebutan semula kes itu pada 2 Jun nanti bagi penyerahan dokumen selain lantikan peguam bagi warga emas berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 11:35 AM