GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini menjelaskan bahawa 13 unit tren Diesel Multiple Unit (DMU) baharu yang akan digunakan adalah menggantikan lokomotif dan koc penumpang sedia ada bagi laluan Pantai Timur.

Ini kerana keadaan lokomotif sedia ada itu memerlukan kos penyelenggaraan yang terlalu tinggi serta sering berlaku kerosakan.

MOT menerusi kenyataan berkata, set DMU yang bakal beroperasi itu pula hanya memerlukan pemeriksaan berjadual sahaja pada masa ini dan perkara itu adalah dalam kawalan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

"Hakikatnya, kesemua 13 unit tren DMU telah selamat tiba daripada pembekal dan amatlah janggal sekiranya ia tidak digunakan. Jabatan Audit Negara akan mempersoalkan sekiranya ia tidak digunakan sedangkan kesemua tren DMU telah pun selamat tiba dalam keadaan baik.

"Tidak timbul isu berkaitan tahap keselamatan komponen tangki minyak tren DMU kerana ia sentiasa dibersihkan dan dibaiki dengan segera jika terdapat kerosakan atau kecacatan," menurut kenyataan itu yang menjawab dakwaan dibuat Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB (RUM) Abdul Razak Md Hassan berhubung DMU menerusi hantaran di Facebooknya.

Abdul Razak mempersoal beberapa perkara termasuk faktor tren DMU seolah-olah digunakan secara tergesa-gesa, isu berkaitan tahap keselamatan komponen tangki minyak tren DMU, tahap kualiti cermin tingkap DMU dan fasiliti depoh tren berkenaan.

Menurut kenyataan itu, DMU yang akan menggantikan jajaran berkenaan akan lebih reliable dan mempunyai kelajuan yang lebih tinggi, sesuai dengan trek yang sedang dibaik pulih dan yang akan siap sepenuhnya kelak.

"Seterusnya faedah ini akan diterima oleh rakyat di sepanjang jajaran tren Pantai Timur terutama pelajar sekolah yang menggunakan perkhidmatan secara harian," menurut MOT.

MOT juga memaklumkan tangki minyak tren DMU adalah selamat digunakan dan tangki minyak itu akan digantikan secara berperingkat mengikut keperluan.

Menurut kenyataan itu, cermin tingkap tren DMU akan ditukar serta-merta sekiranya berlaku kerosakan.

Mengenai persepsi berkaitan depoh pula, dimaklumkan terdapat beberapa fasiliti depoh penyelenggaraan DMU sedang di peringkat akhir pembinaan.

"Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan penyelenggaraan set DMU kerana masih terdapat depoh penyelenggaraan KTMB sedia ada lain yang boleh menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan," katanya.

MOT berkata, kementerian itu sentiasa mendengar dan mengambil kira pandangan semua pihak, malah telah mengadakan beberapa kali perbincangan bersama pihak KTMB dalam pelbagai perkara secara menyeluruh termasuk berkaitan DMU.

"Satu laporan polis juga telah dibuat terhadap Abdul Razak bagi tindakan susulan. Kementerian Pengangkutan memandang serius tohmahan atau tuduhan tidak berasas yang bertujuan mencemarkan imej kementerian demi kepentingan peribadi pihak tertentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 3:11 PM