Gambar hiasan. FOTO NSTP.
Gambar hiasan. FOTO NSTP.
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengeluarkan surat kebenaran baharu bagi membolehkan syarikat berdaftar di bawah Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE) beroperasi semasa fasa pertama sekatan pergerakan penuh.

MOT berkata surat baharu itu yang menggantikan surat terdahulu yang kini terbatal dan tidak sah, boleh dimuat turun menerusi https://application.mot.gov.my/.

SMILE adalah sistem yang dikhususkan untuk syarikat dalam sektor logistik dan pengangkutan komersial termasuk udara dan air, perkhidmatan kurier dan gudang, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, MOT berkata, hanya dua individu termasuk pemandu dibenarkan berada dalam sesebuah kenderaan persendirian pada satu-satu masa.

Bagaimanapun, tiga individu termasuk pemandu dibenarkan di dalam sesebuah kenderaan sekiranya ada kecemasan atau lawatan ke hospital yang mempunyai surat doktor atau vaksinasi yang disahkan dengan MySejahtera, atau atas faktor keselamatan, kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Peraturan sama terpakai bagi teksi dan kenderaan e-panggilan, dan penumpang mesti duduk di belakang.

Untuk pengangkutan awam, MOT berkata semua operator pengangkutan awam darat dan laut dibenarkan beroperasi pada kadar 50 peratus kapasiti penumpang.

Bagaimanapun penumpang penerbangan dikecualikan daripada syarat ini berikutan jumlah penumpang yang sudah rendah.

"Semua operator dibenar menentukan kekerapan perkhidmatan optimum masing-masing bagi mengelakkan kesesakan di terminal, platform dan stesen, selain memastikan pematuhan penuh prosedur operasi standard Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan," katanya.

MOT berkata, bagi sektor logistik, semua syarikat logistik yang berkaitan pengangkutan darat, laut dan udara serta pengendalian barangan termasuk perniagaan e-dagang, juga dibenarkan beroperasi secara optimum.

Bengkel kenderaan dan kedai tayar juga dibenarkan beroperasi, kata MOT.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 12:28 PM