GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pemandu perkhidmatan e-hailing didenda RM7,000 atau dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan menghantar komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Twitter, tahun lalu.

Hakim M.M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Sufazrin Amin Ismail, 27, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Twitter, menggunakan nama profil "Fazr_Ismail" terhadap Yang di-Pertuan Agong pada 1.55 tengah hari, 6 Januari 2020.

Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini pada 4.30 petang, 8 Januari 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan terhadap Sufazrin Amin supaya ia turut memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan sama.

"Walaupun rakyat Malaysia diberikan kebebasan untuk bersuara tetapi institusi diraja perlu dihormati," katanya.

Sufazrin Amin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia berasal daripada keluarga susah serta menanggung keluarga.

"Saya mohon maaf kepada semua rakyat Malaysia dan saya sudah menyesal serta insaf atas kesalahan yang dilakukan," katanya.

Pada 27 Ogos tahun lalu, Sufazrin Amin didenda RM16,000 atau penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen sama atas empat pertuduhan membuat dan menghantar komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong menerusi Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 3:05 PM