Keadaan dua motosikal anggota yang terbabit kemalangan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas. FOTO IHSAN PEMBACA
Keadaan dua motosikal anggota yang terbabit kemalangan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas. FOTO IHSAN PEMBACA
Abnor Hamizam Abd Manap


Tampin: Seorang anggota tentera berusia 23 tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kem Syed Sirajuddin, Gemas pada 12 tengah hari, tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Ahmad Pilus Zainal berkata ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal Honda RS150 dalam perjalanan menuju ke Hospital Tentera Darat (HTD) yang terletak dalam kem itu.

Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu masuk ke laluan bertentang sebelum bertembung dengan motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang oleh seorang anggota tentera dari kem sama.

"Akibat kemalangan itu kedua-dua mangsa dihantar ke HTD bagi menerima rawatan lanjut.

"Bagaimanapun pada 1.17 tengah hari, mangsa dari Unit 51 Rejimen Artileri Diraja (RAD) disahkan meninggal dunia oleh doktor di Unit Kecemasan HTD," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Pilus berkata seorang lagi anggota tentera yang menunggang motosikal Yamaha dari Unit 391 Bateri RAD mengalami kecederaan patah tangan dan peha kaki kanan.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tampin bagi bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 8:40 PM