GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lelaki berusia 33 tahun cedera di muka dan badan selepas didakwa dipukul sekumpulan individu di kawasan perkuburan di Jalan Paya Terubong, di sini, baru-baru ini.

Kejadian jam 10.45 malam, pada 20 Mac lalu itu menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri dan hanya 'dibiarkan untuk mati' di kawasan berkenaan.

Ketika di lokasi kejadian, mangsa dikatakan ditarik empat suspek yang dikenalinya sebelum meminta kereta mangsa, wang berjumlah RM9,000 dan barangan berharga.

Berikutan enggan, mangsa ditumbuk berkali-kali oleh suspek sebelum 35 individu lagi datang memukul badannya sehingga tidak sedarkan diri.

Kesemua individu memukul mangsa menggunakan tangan dan buku lima selain merampas barangan berharga dan kereta Mercedez Benz E350 miliknya.

Dia yang tidak sedarkan diri kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan.

Insiden itu menyebabkan dia hilang penglihatan berikutan berlaku pendarahan pada kedua-dua mata, cedera di kedua-dua telinga, patah tulang hidung dan tulang belakang serta bengkak di bahagian muka dan kepala.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

"Kita sudah menerima aduan daripada mangsa dan masih menyiasat dengan telus dan adil.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 6:22 PM