BOY Tiger (kiri) dera kanak-kanak sampai mati. FOTO/NSTP
BOY Tiger (kiri) dera kanak-kanak sampai mati. FOTO/NSTP
Hasbi Sidek dan Siraj Mohd Zaini


SHAH ALAM: Tergamak tinggalkan anak tiri yang didera teruk dalam keadaan nyawa-nyawa ikan di Hospital Ampang sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal.

Itu tindakan kejam seorang lelaki dikenali sebagai Boy Tiger disyaki memukul anak tirinya berusia tiga tahun hingga patah tulang belakang kepala.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, kanak-kanak lelaki itu, Muhammad Khairil Akmal Abdul Rahman disahkan meninggal dunia selepas 30 minit menerima rawatan di hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, mangsa patah tulang pada bahagian belakang kepala selain terdapat banyak kesan lebam pada muka dan badan.

“Ibu kandung dan bapa tiri mangsa menghantar kanak-kanak itu ke Jabatan Kecemasan Hospital Ampang selepas mangsa didapati tidak sedarkan diri.

“Mangsa didapati mempunyai banyak luka dan lebam di bahagian belakang serta depan badan, luka di bawah bibir, lebam di sekeliling kedua-dua mata selain luka bentuk bulat di kedua-dua kaki dan tangan.

“Pemeriksaan x-ray juga mendapati tulang belakang di bahagian kepala mangsa patah. Pegawai perubatan yang merawatnya membuat laporan polis kerana mangsa disyaki didera,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, ibu bapa mangsa menghilangkan diri sehingga kini dan rumah mereka di Bukit Indah, Ampang juga kosong.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, suspek dikenali sebagai Khairul Izaini Khairuddin, 31, atau Boy Tiger masih diburu polis bagi membantu siasatan kes kematian kanak-kanak itu.

Menurutnya, polis meminta ibu kandung mangsa, Noraini Samian, 20, dan Khairul Izaini tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Bapa tiri mangsa turut dikenali dengan panggilan Boy Tiger dan kedua-dua mereka menghilangkan diri dengan menunggang motosikal Yamaha 125z selepas menghantar kanak-kanak itu,” katanya.

Kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 10:28 AM