Ahmad Hasbi


Seremban: Empat anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan masing-masing meminta dan menerima rasuah daripada seorang wanita sebagai balasan untuk melepaskan dua lelaki yang ditahan kerana memiliki dadah.

Tertuduh, Lans Koperal Mohamad Ikhwan Syafiq Mohammad, 27, Koperal Muhammad Syahar Sansudin@Samsudin, 34, Lans Koperal Muhammad Adib Hanizin, 27, dan Koperal Muhammad Ruzaini Firdaus Ismail, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh dengan niat bersama secara rasuah meminta untuk diri mereka suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM3,000 daripada seorang wanita berusia 37 tahun.

Ia sebagai dorongan untuk mereka melakukan suatu perkara iaitu melepaskan dua anak wanita itu daripada tahahan polis kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki dadah jenis syabu.

Mengikut pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama secara rasuah menerima untuk diri suatu suapan iaitu wang tunai RM800 dari wanita sama dan bagi tujuan sama.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 12 malam dan 3 pagi di Balai Polis Gemencheh, Tampin, 24 Ogos lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohammad memohon mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan dan wang jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili semua tertuduh memohon mahkamah menetapkan wang jaminan rendah memandangkan tertuduh hanya anggota biasa selain dipantau Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia selain diselia Ketua Polis Balai Gemencheh sepanjang tempoh jaminan.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM3,500 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan melaporkan diri di Pejabat SPRM Melaka setiap bulan.

Kes akan disebut semula pada 12 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 1:32 PM
Empat anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas dua pertuduhan masing-masing meminta dan menerima rasuah daripada seorang wanita sebagai balasan untuk melepaskan seorang lelaki yang ditahan kerana memiliki dadah, Ogos lalu. FOTO AZRUL EDHAM
Empat anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas dua pertuduhan masing-masing meminta dan menerima rasuah daripada seorang wanita sebagai balasan untuk melepaskan seorang lelaki yang ditahan kerana memiliki dadah, Ogos lalu. FOTO AZRUL EDHAM