GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kes kecurian kenderaan di negara ini dikesan mencatatkan penurunan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC), berlaku penurunan sebanyak 4,275 kes atau bersamaan 37 peratus berkenan kehilangan kenderaan bagi 2019 (11,675 kes) dan 2020 (7,400 kes).

Ko-ordinator VTREC Mas Tina Abd Hamid berkata, daripada keseluruhan jumlah kenderaan yang dilaporkan hilang tahun lalu, Proton Wira merekodkan jumlah kenderaan paling tinggi yang menjadi sasaran kecurian iaitu sebanyak 353 kes.

"Ia diikuti dengan kereta Proton Iswara dan Toyota Hilux, masing-masing sebanyak 273 kes dan 209 kes.

"Selain daripada kenderaan berkenaan, kereta lain yang turut menjadi sasaran adalah Perodua Kancil (114 kes), Perodua Myvi (131 kes), Proton Saga (110 kes), Proton Waja (104 kes), Honda Civic (85 kes), Honda City (75 kes) dan Toyota Velfire (60 kes)," katanya ketika membentangkan statistik berkenaan, hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan Kempen Kesedaran Awam Kecurian Kenderaan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM)-VTREC yang berlangsung di Tournament Players Club (TPC), Bukit Kiara, di sini.

Hadir sama Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Dev Kumar.

Menurutnya, Selangor mencatatkan jumlah kehilangan kenderaan paling tinggi tahun lalu iaitu sebanyak 2,332 kenderaan, diikuti Kuala Lumpur (1,572), Johor (1,006), Kedah (495) dan Sarawak (454).

"Semakan mendapati, purata sejumlah 32 kenderaan dilaporkan dicuri setiap hari pada 2019 dan menurun kepada 20 kenderaan pada tahun lalu.

"Kita percaya penurunan ini mempunyai kaitan dengan pelaksanaan PKP di negara ini dan juga kesan kolabrasi antara agensi kerajaan dan bukan kerajaan dari segi penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 4:31 PM