DR ABD LATIFF AHMAD
DR ABD LATIFF AHMAD
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan mengambil tindakan terhadap seorang individu selepas melanggar syarat kebenaran yang dikeluarkan agensi berkenaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, Jakoa sudah mengeluarkan surat kelulusan permohonan kepada Valeriya Ashtoshova untuk menjalankan program kelas bahasa Inggeris.

Beliau berkata, program berkenaan dilaksanakan di Kampung Orang Asli Pos Woh, Tapah, Perak dan surat kebenaran dikeluarkan pada 14 Disember lalu.

"Namun, Jakoa mendapat maklumat bahawa individu berkenaan menyalahguna dewan di kampung itu untuk dijadikan tempat penginapan serta membawa individu lain untuk tinggal tanpa kelulusan.

"Tindakan ini menyalahi peraturan serta menimbulkan risiko penyebaran pandemik Covid-19 di kampung ini.

"Selain itu, individu terbabit turut memuat naik kritikan terhadap perkhidmatan kesihatan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan untuk masyarakat Orang Asli di media sosial," katanya pada kenyataan, hari ini.

Abd Latiff berkata, selepas beberapa siri pelanggaran syarat kelulusan, Jakoa membatalkan kelulusan menjalankan program kelas bahasa Inggeris itu dan meminta individu terbabit meninggalkan kampung berkenaan.

"Namun, individu terbabit enggan menuruti arahan serta mengeluarkan kenyataan memburukkan Jakoa, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan kerajaan Malaysia.

"Selain itu, kutipan derma untuk menjalankan program ini terus dilaksanakan walaupun notis penamatan program dikeluarkan oleh Jakoa dan kutipan terbabit tidak melalui mana-mana pertubuhan berdaftar.

"Oleh itu, Jakoa dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mengambil tindakan terhadap individu terbabit berdasarkan undang-undang," katanya.

Menurut beliau, pendidikan dan kesihatan masyarakat Orang Asli juga sentiasa menjadi keutamaan Jakoa melalui program yang disediakan seperti yang diperuntukkan oleh kerajaan.

Abd Latiff berkata, Jakoa menasihati masyarakat supaya sentiasa memastikan segala kutipan derma yang dibuat atas nama masyarakat Orang Asli perlu melalui pertubuhan yang berdaftar dan diiktiraf bagi mengelakkan penyalahgunaan dana kutipan untuk kepentingan pihak lain.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 6:00 PM