ANTARA kereta yang diletakkan di sebuah kawasan tempat letak kereta di Kota Damansara, Petaling Jaya, yang rosak akibat perbuatan khianat, semalam.
ANTARA kereta yang diletakkan di sebuah kawasan tempat letak kereta di Kota Damansara, Petaling Jaya, yang rosak akibat perbuatan khianat, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Siapa bertanggungjawab? Itu persoalan timbul selepas cermin lapan kereta yang diletakkan di kawasan parkir di Kota Damansara, di sini, dipecahkan dalam kejadian yang dilaporkan berlaku semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pemilik semua kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu sudah membuat laporan polis, semalam.

"Tiada kehilangan barang peribadi dilaporkan. Siasatan mendapati kawasan berkenaan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) serta tiada kawalan pengawal keselamatan.

"Setakat ini, tiada butiran suspek diperolehi kerana tiada saksi yang melihat kejadian itu dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kes berasingan, Ku Mashariman berkata, pihaknya mengenal pasti dua individu yang terbabit dengan kes pergaduhan di Dataran Sunway, Kota Damansara selepas tular di media sosial, hari ini.

"Kami percaya pergaduhan itu membabitkan dua individu yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15R dan motosikal jenis RS150.

"Bagaimanapun, punca kejadian masih belum diketahui dan siasatan lanjut berhubung perkara itu akan dilakukan," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah.

"Selain itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya membuka kertas siasatan di bawah Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.

"Kami menyeru kepada sesiapa yang melihat atau berada di lokasi kejadian supaya tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kes berkenaan atau menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Noori Faiz Ismail di talian 013-3352535," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 6:24 PM