Zaid Salim

Marang: Polis menurunkan sebanyak 520 iklan dan poster along dalam operasi di Bukit Payung dan Wakaf Tapai, di sini, hari ini.

Operasi tiga jam bermula 9 pagi dilakukan dengan kerjasama Majlis Daerah Marang (MDM) dan diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang Asisten Superintendan Hashieme Zuhaili Jaafar.

Ketua Bahagian Pengurusan IPD Marang Asisten Superintendan Hamidee Abdul Hamid berkata, operasi berkenaan adalah kali keempat dilakukan sepanjang tahun ini.

"Disebabkan Marang berada di tengah laluan antara Dungun dan Kuala Terengganu serta Kuala Berang dan Kuala Terengganu menyebabkan daerah ini menjadi lokasi pilihan along untuk menampal poster di sini. Sejak Mei lalu, kita sudah merampas hampir 2,000 poster dan iklan pinjaman haram.

"Semua poster yang dirampas akan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) Tanpa Lesen 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 5:13 PM
Hamidee menunjukkan poster iklan pinjaman wang daripada along yang dirampas. FOTO Zaid Salim
Hamidee menunjukkan poster iklan pinjaman wang daripada along yang dirampas. FOTO Zaid Salim