TAN Sri Abdul Hamid Bador. FOTO arkib NSTP
TAN Sri Abdul Hamid Bador. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kawalan sempadan negara diletakkan dalam situasi berjaga-jaga susulan terdapat kemungkinan, Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, melarikan diri ke luar negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sudah meletakkan Nicky, 33, dalam senarai sebagai individu dikehendaki.

"Apabila nama ahli perniagaan itu dalam senarai berkenaan, semua jalan keluar di sempadan, jeti, pelabuhan dan lapangan terbang akan dimaklumkan mengenai situasi itu," katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan 118 individu ditahan menerusi 70 serbuan dalam Operasi Pelican 3.0 yang dilakukan bagi mengesan dan menahan anggota kumpulan Geng Nicky pada 20 hingga 28 Mac lalu.

Antara individu yang ditahan berkenaan adalah dua adik kepada Nicky masing-masing bergelar Datuk Seri dan Datuk berusia 28 serta 30 tahun selain seorang lagi Datuk Seri serta lima Datuk lain.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mudin Pitchay, Nicky dipercayai melarikan diri dengan membawa 'bekalan' lapan beg yang dipenuhi wang tunai.

Katanya, siasatan awal dilakukan mendapati Nicky kali terakhir dilihat di Setiawalk, Puchong, Selangor pada 20 Mac lalu.

Difahamkan bahawa Nicky melarikan diri bersama lapan beg berisi wang tunai semasa keluar dari bangunan SetiaWalk.

"Walaupun dia dipercayai masih berada di dalam negara, kami tidak menolak kemungkinan bahawa Nicky akan cuba melarikan diri menggunakan jalan 'tikus'.

"Kami percaya pergerakan dia kini terbatas kerana dua adiknya sudah ditahan pihak polis," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 4:37 PM