FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengenepikan hukuman penjara tiga bulan terhadap seorang wanita atas pertuduhan menghina polis di media sosial pada tahun lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu selepas menerima rayuan pihak pembelaan.

Mahkamah dalam keputusannya mengekalkan hukuman denda bagaimanapun ia dikurangkan daripada RM10,000 kepada RM5,000 terhadap Nursahira Mohd Mizuar, 20.

Bagaimanapun, tertuduh boleh dihukum penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Pada 31 Mac tahun lalu, Mahkamah Sesyen di sini, menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara tiga bulan terhadap Nursahira selepas mengaku bersalah membuat dan memulakan komunikasi jelik menerusi Facebook dengan niat menganiaya orang lain di sebuah rumah di Persiaran Kiara Mas, Pendang, pada 10.12 malam, 27 Mac tahun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pembantu kedai ditahan polis pada 11.30 malam 27 Mac tahun lalu selepas dia memuat naik status menghina polis di media sosial miliknya.

Wanita itu dikatakan memuat naik status itu selepas marah dengan tindakan polis mengarahkannya pulang ke rumah ketika anggota terbabit melakukan pemantauan Ops Covid-19 di tepi jalan Pendang-Kobah, Batu Menunggul di sini.

Terdahulu peguam yang mewakili tertuduh, Datuk Naran Singh dalam rayuan berkata, pihaknya berharap hukuman terhadap tertuduh diringankan berikutan dia sudah insaf dan menyesal atas perbuatannya selain mengambil kira usia tertuduh baru menjangkau 19 tahun ketika itu.

Selain itu, Naran berkata, tertuduh sudah menjalani hukuman penjara selama 10 hari dan itu sudah memadai baginya.

"Laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga menunjukkan tertuduh seorang anak yang baik, bertanggungjawab dan kini bekerja kilang untuk membantu keluarga memandangkan bapanya adalah pesara tentera dan ibunya merupakan suri rumah," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz pula memohon supaya satu hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan menghina polis ada sesuatu yang serius dan patut menjadi pengajaran kepada orang awam.

Difahamkan, keluarga tertuduh membayar denda berkenaan.

Sementara itu, Nursahira berkata, dia bersyukur dengan keputusan mahkamah hari ini dan kejadian itu akan menjadi pengajaran untuknya seumur hidup.

"Saya sudah insaf dengan kesilapan saya yang lalu, ia mematangkan saya untuk meneruskan perjalanan hidup," katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 2:34 PM