Noorazura Abdul Rahman


MAHKAMAH Tinggi Alor Setar, hari ini membenarkan permohonan pembantu kedai untuk menangguhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000 selepas didapati bersalah menghina polis pada 27 Mac lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan memfailkan semakan semula keputusan Mahkamah Sesyen Alor Setar yang menolak permohonan tertuduh, Nursahira Mohd Mizuar, 20, pada 31 Mac lalu.

Ghazali kemudian menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan dua penjamin, selain tertuduh perlu melaporkan diri di Balai Polis Pendang, setiap dua minggu.

Terdahulu, Nursahira didenda RM10,000 dan penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik melalui aplikasi Facebook dengan niat menganiaya orang lain di sebuah rumah di Persiaran Kiara Mas, Pendang, pada 10.12 malam, 27 Mac lalu.

Tertuduh bagaimanapun gagal membayar denda berkenaan menyebabkan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tambahan dua bulan ke atasnya.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Azrul Abd Rahman, sebelum itu membantah permohonan semakan itu kerana menyifatkan kesalahan tertuduh adalah serius selain ia turut tular di media sosial.

NURSAHIRA (tiga dari kiri) bersama usahawan, Muhamad Azlan Abdullah@Ali (kanan) dan  peguam, Datuk Naran Singh (kiri) selepas Mahkamah Tinggi Alor Setar membenarkan pemohonan untuk menangguhkan hukuman. FOTO Amran Hamid
NURSAHIRA (tiga dari kiri) bersama usahawan, Muhamad Azlan Abdullah@Ali (kanan) dan peguam, Datuk Naran Singh (kiri) selepas Mahkamah Tinggi Alor Setar membenarkan pemohonan untuk menangguhkan hukuman. FOTO Amran Hamid

Beliau meminta tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 sekiranya mahkamah membenarkan permohonan berkenaan.

Sementara itu, peguam tertuduh, Datuk Naran Singh ketika ditemui, berkata mahkamah berpuas hati dengan hujahan pihak pembelaan dan membenarkan permohonan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sudah memfailkan rayuan berhubung kes itu di mahkamah tinggi dan sebutan pertama kes akan dibuat pada bulan depan.

Dalam kejadian 11.30 malam 27 Mac lalu, Nursahira ditahan polis selepas memuat naik status menghina polis di media sosial miliknya.

Wanita itu dikatakan memuat naik status itu kerana marah dengan tindakan polis mengarahkannya pulang ke rumah ketika anggota terbabit melakukan pemantauan Ops Covid-19 di tepi jalan Pendang-Kobah, Batu Menunggul, Pendang pada 9 malam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 2:51 PM