Roselan Ab Malek


Cameron Highlands: Seorang tertimbus dan seorang cedera, manakala dua lagi selamat selepas kediaman keluarga mereka di Sungai Palas berdekatan jalan utama Brinchang, di sini, ditimpa tanah runtuh, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, wanita warga emas berusia 59 tahun yang tertimbus tanah runtuh itu dipercayai meninggal dunia.

Difahamkan, hujan lebat dua jam sebelum kejadian itu mencetuskan pergerakan tanah di kawasan kediaman mengakibatkan rumah roboh dan tertimbus tanah runtuh.

Ketua Zon Tiga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Shahrul Nizam Nasir berkata, ketika kejadian empat sekeluarga berada dalam rumah berkenaan.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, wanita warga emas berkenaan terperangkap dalam runtuhan itu dan tertimbus tanah dengan anggaran kedalaman satu meter.

Katanya, anak perempuannya berusia 29 tahun tercedera, manakala suami anak perempuannya itu dan cucu perempuan berjaya menyelamatkan diri.

WARGA emas tertimbus dipercayai maut dalam kejadian tanah runtuh  di Sungai Palas. FOTO Ihsan Bomba
WARGA emas tertimbus dipercayai maut dalam kejadian tanah runtuh di Sungai Palas. FOTO Ihsan Bomba

"Pasukan Bomba dan Penyelamat bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada 3.30 petang dan mendapati sebuah rumah kebun runtuh.

"Kami melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga emas itu di kawasan runtuhan terbabit sebelum ditemukan pada 5.41 petang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Harian Metro masih menunggu maklumat lanjut, termasuk perincian mengenai identiti mangsa daripada polis berhubung kejadian tanah runtuh itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 8:30 PM