KUMPULAN gajah termasuk anak gajah melintasi Jalan Kota Tinggi-Mersing. Gambar kanan, seekor gajah dewasa menghampiri sebuah gerai makan di kawasan Batu 6 Jalan Kota Tinggi-Mersing, malam tadi.
KUMPULAN gajah termasuk anak gajah melintasi Jalan Kota Tinggi-Mersing. Gambar kanan, seekor gajah dewasa menghampiri sebuah gerai makan di kawasan Batu 6 Jalan Kota Tinggi-Mersing, malam tadi.
Mohamed Farid Noh

Kota Tinggi: Pengguna Jalan Kota Tinggi-Mersing terutama di laluan antara Batu 4 hingga Batu 14, diingatkan sentiasa berhati-hati dan tidak memandu laju pada waktu malam hingga awal pagi susulan kehadiran gajah.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban, berkata ia susulan kehadiran antara 30 hingga 40 gajah yang bergerak dalam kawanan mencari makan pada waktu berkenaan di kawasan itu.

"Jalan Kota Tinggi-Mersing terutamanya di Batu 4 hingga Batu 14 adalah kawasan lintasan kumpulan gajah dari Panti.

"Gajah terbabit bergerak dari Hutan Simpan Panti ke kawasan pertanian di seberang jalan (Jalan Kota Tinggi-Mersing) untuk mencari makanan terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, sebanyak 20 papan tanda amaran lintasan hidupan liar dipasang di kiri dan kanan jalan berkenaan untuk memberi peringatan kepada pengguna jalan raya.

"Pengguna juga tidak perlu membunyikan hon panik atau keluar dari kenderaan untuk merakamkan gambar mahu pun video kerana ia mungkin akan menyebabkan perkara yang tidak diingini.

"Tindakan itu dianggap sebagai ancaman oleh haiwan liar sebelum bertindak balas," katanya.

Malam tadi tular di media sosial, rakaman video berdurasi lapan saat daripada pengguna jalan raya itu yang menunjukkan kumpulan kawanan gajah yang melintasi Jalan Kota Tinggi-Mersing dipercayai bagi mencari makan.

Sebuah lagi video berdurasi lapan saat, menunjukkan seekor gajah dewasa menghampiri sebuah gerai makan di kawasan Batu 6 Jalan Kota Tinggi-Mersing.

Jumaat lalu, media melaporkan seekor gajah betina mati dilanggar kenderaan dalam kemalangan di Batu 7 Jalan Kota Tinggi-Mersing.

Menurut saksi, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 11 malam, apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Kota Tinggi menghala Mersing melanggar gajah itu diikuti beberapa kenderaan lain termasuk sebuah treler yang tidak sempat mengelak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 1:39 PM