Annuar ketika sidang media di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Annuar ketika sidang media di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Suraya Roslan


Putrajaya: Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa menerima dengan hati terbuka dan reda dengan keputusan parti memecatnya daripada jawatan itu.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai keputusan pemecatan itu melalui rakan media.

"Kira-kira jam 12.36 tengah hari semalam, saya menerima berita daripada rakan media memaklumkan saya dipecat dari jawatan Setiausaha (SU) Agung BN dan Muafakat Nasional (MN) berkuat kuasa serta-merta dan tempat saya digantikan oleh rakan saya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

"Mengikut perlembagaan BN, SU Agung hendaklah dilantik Pengerusi selepas berunding dengan dewan tertinggi BN untuk pegang jawatan selama dua tahun dan SU Agung bertanggungjawab terhadap pentadbiran BN," katanya dalam sidang media khas di Kementerian Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Katanya, beliau dilantik menjawat jawatan itu pada 16 Mac 2020 iaitu kita-kira 10 bulan lalu.

"Saya tegaskan menerima keputusan Datuk Seri (Dr) Ahmad Zahid (Hamidi) yang pecat saya dan turut memaklumkan kepada beliau semalam melalui Whatsapp kira-kira 1 tengah hari.

"Saya mengucapkan setinggi penghargaan terima kasih kerana beri peluang kepada saya berkhidmat selama tempoh itu," katanya.

Katanya, ada pihak yang menegurnya berikutan dilihat cuba mempertahankan parti tertentu.

"Ada yang tegur saya kononnya pertahan parti tertentu.

"Kita ada etika tertentu, kalau saya tidak sependapat dengan Perdana Menteri, ada tempatnya saya bersuara tetapi bukan dengan cara memburukkan keadaan apa lagi mewujudkan ketidakstabilan kepada kerajaan.

"Saya berpegang kuat bukan saja prinsip dan keputusan parti, tetapi kepercayaan dalam diri saya politik negara ini harus berteraskan kepada kelompok Melayu dan Islam, sekiranya kita gagal untuk menyatupadukan Melayu, kitalah yang dipersalahkan rakyat sebagai pemimpin politik," katanya.

Ditanya adakah dengan pemecatan itu membawa langkah beliau untuk keluar Umno, Annuar bertegas perkara itu tidak akan berlaku.

"Sebab apa nak keluar? Tiada siapa halau saya pun.

"Kini saya bebas untuk bersuara, saya lebih aktif dan kekal istiqamah," katanya.

Ditanya lagi adakah Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pernah menegur setiap komen dilontarkan, beliau menafikan perkara itu.

"Saya tidak pernah ditegur kerana pemahaman saya apa yang keluar adalah keputusan parti.

"Jadi apabila saya pertahankan 'No DAP, No Anwar' saya dianggap salah, tetapi orang yang senyap-senyap berunding dengan DAP dan tulis surat sokongan Anwar dikata tidak salah, itu saya confuse (keliru) sedikit," katanya.

Annuar berkata, secara peraturan, pemecatan dan pelantikan tidak boleh dibuat Presiden Umno tetapi tertakluk kuasa Pengerusi BN dalam mesyuarat BN.

"Ia jelas nak lantik mesti berunding dengan parti lain, parti lain juga berhak nak cadangkan siapa jadi SU Agung.

"Saya fikir pecat saya sekali lagi bila mesyuarat BN diadakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 4:09 PM