GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
Oleh Mohd Amin Jalil


Port Dickson: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sudah mengenal pasti sebanyak 255 tapak bazar Ramadan akan dibuka di seluruh daerah ini bagi memberi peluang peniaga kecil menjalankan perniagaan.

Yang Dipertua MPPD, Zamri Mohd Esa berkata, lokasi itu membabitkan 20 tapak di Bandar Springhill, Pasaraya Mesra Teluk Kemang (20), Taman Politeknik (60), Pasir Panjang (5), Linggi (15), Bandar Sunggala (15), Econsave (60) dan kawasan Batu 4 (60).

Katanya, pemilihan dan kedudukan tapak bazar berkenaan sudah mengambil kira penjarakan antara setiap gerai bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

"Borang permohonan tapak bazar Ramadan akan mula dibuka pada 25 Mac ini dan ia perlu dihantar sebelum atau pada tarikh tutup 2 April.

"Majlis akan mengadakan taklimat mengenai pengurusan tapak bazar Ramadan pada 7 April," katanya di sini, hari ini.

Dalam laporan media sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin tidak menolak kemungkinan bazar Ramadan dibenarkan beroperasi pada tahun ini.

Zuraidah berkata, kebenaran itu akan dibincangkan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan pembukaannya kelak lebih kemas dan berkesan dengan pematuhan penuh prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 1:13 PM