MOHD Zamri Mohd Esa sedang melekatkan bendera kepada kenderaan MPPD di Terminal Bas Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
MOHD Zamri Mohd Esa sedang melekatkan bendera kepada kenderaan MPPD di Terminal Bas Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Sunyi dan lengang walaupun ketika hujung minggu. Seolah-olah industri pelancongan di pantai peranginan ini 'mati' sepenuhnya.

Namun Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) berharap lokasi tumpuan ramai itu akan kembali meriah dan dipenuhi pengunjung luar seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Yang Dipertua MPPD, Mohd Zamri Mohd Esa berkata, pihaknya bersedia menerima pelancong atau pengunjung sebaik sektor pelancongan dibuka kepada orang ramai dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Kami sedia maklum Negeri Sembilan berada dalam fasa 1 dan kami menjangkakan beberapa sektor termasuk pelancongan akan dibuka kepada orang ramai berdasarkan jumlah penduduk yang menerima vaksin.

"Sektor pelancongan di Port Dickson terletak di pantainya dan kami bersedia berbincang dengan pihak lain supaya ia kembali berfungsi sekaligus merancakkan sektor-sektor lain," katanya ketika ditemui diprogram Kibar Jalur Gemilang di Terminal Bas Port Dickson di sini, semalam.

Katanya, selain kawasan pantai, Port Dickson juga ada pelbagai tarikan seperti muzium dan juga eko-pelancongan, Sungai Linggi serta pelbagai lokasi tumpuan.

"Saya percaya sektor ini akan dibuka tidak lama lagi. Kami menangguhkan dahulu Tahun Melawat Port Dickson sehingga tahun 2023 kerana tidak mempunyai masa mencukupi untuk merancang program itu," katanya.

Mohd Zamri berkata, anjakan Tahun Melawat Port Dickson ditangguhkan bagi membolehkan pihaknya berbincang dengan pemain industri.

"Walau bagaimanapun kami menunggu SOP daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya ia selari dengan perancangan bakal dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 12:31 PM