FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali melengkapkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech tadi.

Turut menerima suntikan dos kedua itu di Klinik Kesihatan Presint 18 di sini, adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Mohd Shafiq Abdullah bersama tiga petugas barisan hadapan kementerian iaitu Tawfik Adnan yang bertugas sebagai pemandu, Farid Md Ithnin, Pembantu Kesihatan Awam di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya dan Yusniza M Yusof, jururawat di Klinik Kesihatan, Presint 11 di sini.

Suntikan dos kedua itu dilakukan selepas 21 hari kesemua mereka menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan pada 25 Februari lalu.

"Kesemua yang menerima suntikan hari ini melengkapkan pengambilan vaksin Covid-19 dan menerima 'My COVID-19 Vaccination badge' selain sijil digital menerusi aplikasi MySejahtera," menurut hantaran di laman sosial Facebook KKM.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Presint 18 bersama-sama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan empat petugas barisan hadapan KKM.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 6:16 PM