POLIS trafik melakukan pemeriksaan ke atas motosikal ketika operasi ekzos bising di Plaza Tol Batu 9, Kajang, 8 Mac lalu. FOTO Aswadi Alias.
POLIS trafik melakukan pemeriksaan ke atas motosikal ketika operasi ekzos bising di Plaza Tol Batu 9, Kajang, 8 Mac lalu. FOTO Aswadi Alias.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 71,127 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan menerusi Operasi Khas Ubah Suai Ekzos (bising) yang bermula dari 1 hingga 31 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, operasi itu dilancarkan bertujuan menguatkuasakan undang-undang kepada pengguna jalan raya terutama pemilik serta penunggang motosikal yang melakukan ubah suai ekzos sehingga mendatangkan bunyi bising.

"Sebanyak 157,992 kenderaan diperiksa membabitkan 76,315 motosikal, 52,059 kereta dan 29,618 lain-lain kenderaan di seluruh negara dalam tempoh itu," katanya dalam kenyataan, hari ini. .

JSPT mengeluarkan 71,127 saman atas pelbagai kesalahan dengan kesalahan ubah suai ekzos menyumbang

sebanyak 6,954 saman, merangkumi 4,926 saman bagi motosikal, 1,627 saman bagi kereta dan 401 bagi lain-lain kenderaan

Azisman berkata, sebanyak 2,696 motosikal, 66 kereta dan 19 lain-lain kenderaan disita atas kesalahan sama di 3,478 lokasi operasi di seluruh negara.

"Kenderaan yang disita adalah bagi tujuan pemeriksaan dan akan diserahkan semula selepas ia diubahsuai kembali kepada spesifikasi asal.

"Kita akan teruskan operasi ini dari semasa ke semasa di samping operasi lain seperti samseng jalanan, mabuk, lampu merah dan lain-lain.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan prestasi JSPT di seluruh negara dan aktiviti-aktiviti ini dilihat berkurangan secara keseluruhannya," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, hampir RM32 juta bayaran daripada 291,157 saman berjaya dikumpul menerusi MyBayar Saman sehingga 31 Mac lalu.

Katanya, dalam tempoh tujuh hari kempen yang bermula 25 Mac lalu, 487,077 pengguna direkod berdaftar dengan aplikasi itu selain 2,677 aduan emel terkumpul.

"Berdasarkan jumlah bayaran saman itu, ia memperlihatkan sambutan menggalakkan daripada orang ramai terhadap aplikasi ini dan saya harap usaha ini akan terus disokong orang ramai dengan terus membuat pembayaran melalui aplikasi berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 9:52 AM