Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas sepuluh pertuduhan gagal menyediakan penginapan sempurna kepada pekerja mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Tertuduh yang diwakili pengarah syarikat membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyediakan penginapan yang tidak memenuhi keperluan Perakuan Penginapan daripada Ketua Pengarah Tenaga Kerja bagi pekerja asing seperti mana kehendak Seksyen 24D(1) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Tasek Mutiara 2, Pusat Perdagangan Tasek Mutiara pada 26 November 2020.

Oleh yang demikian tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24D(3) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim dan Zaihas Mohd Syakir Hasfar manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela Chew Jee San.

Mahkamah menetapkan 28 April hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 26 November lalu, Harian Metro melaporkan satu daripada asrama tempat penginapan pekerja yang dimiliki syarikat sarung tangan terkenal di kawasan perumahan Tasek di sini melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Pengarah Standard Perburuhan Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Mohd Asri Abdul Wahab dilaporkan berkata, kesalahan itu dikesan ketika operasi jabatan itu bersama JTK Perak dan Jabatan Kesihatan Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 11:28 AM
PEGAWAI JTK dan Timbalan Pendakwa Raya di hadapan Mahkamah Sesyen Ipoh bercakap pada wartawan selepas pendakwaan terhadap, Top Glove Sdn Bhd. FOTO Balqis Jazimah Zahari
PEGAWAI JTK dan Timbalan Pendakwa Raya di hadapan Mahkamah Sesyen Ipoh bercakap pada wartawan selepas pendakwaan terhadap, Top Glove Sdn Bhd. FOTO Balqis Jazimah Zahari