Raja Noraina Raja Rahim


Shah Alam: Suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 18 pertuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dan menerima suapan dengan jumlah keseluruhan lebih RM1 juta.

Len Chia Whey, 37, dan Tong Karen, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Len yang juga pengurus hartanah berdepan 12 pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram ke akaun simpanan miliknya dan akaun lain sebagai bayaran pendahuluan kenderaan jenis Mini Cooper S Clubman F54 serta memiliki matawang asing hasil aktiviti haram itu dengan jumlah keseluruhan RM757,986.

Perbuatan itu dilakukan antara 7 Julai 2018 sehingga 17 September 2019 di lokasi berasingan iaitu di dalam daerah Sepang, Shah Alam, Klang, Subang Jaya dan Petaling Jaya.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta ringgit, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

ANGGOTA SPRM mengiringi Chia Whey dan Karen ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan menerima suapan serta terbabit aktiviti pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Shah Alam. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
ANGGOTA SPRM mengiringi Chia Whey dan Karen ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan menerima suapan serta terbabit aktiviti pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Shah Alam. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Di mahkamah sama, Len turut didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM232,593 daripada Choong Wai Loon melalui orang tengah iaitu Choong Wee Long sebagai upah membantu mendapatkan subkontrak 'Design and Build Agreement' stesen minyak Turnkey.

Ia dilakukan di rumahnya di Setia Eco Glades, Cyberjaya, antara 3 petang hingga 5 petang pada 24 Mei 2019.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, jika sabit kesalahan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Sementara itu, isterinya pula iaitu Tong, didakwa atas lima pertuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram ke akaun simpanan miliknya dan akaun lain sebagai bayaran pendahuluan kenderaan jenis Mini Cooper S Clubman F54 dengan jumlah keseluruhan RM188,000.

Justeru, tertuduh juga didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) akta sama.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziah Mohaide manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Gooi Soon Seng.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 2:21 PM