CHIN  Siang (kiri) menutup muka ketika dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
CHIN Siang (kiri) menutup muka ketika dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Bekas pegawai bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas pertuduhan menerima rasuah dan sembilan pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan RM290,400, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Lai Chin Siang, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Bagi pertuduhan rasuah, lelaki itu didakwa menerima RM290,400 bagi dirinya daripada seorang individu melalui pemindahan wang akaun sebuah syarikat sebagai upah untuk membantu meluluskan pinjaman bagi jualan kilang di Batu Pahat bernilai RM15.1 juta.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi sembilan pertuduhan lain, dia didakwa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan sejumlah wang rasuah berkenaan ke dalam akaun miliknya serta enam akaun individu lain yang mana wang itu adalah hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama.

Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai wang yang terbabit atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan Batu Pahat di Jalan Zabedah, Batu Pahat antara 10 April hingga 18 Mei 2015 ketika tertuduh memegang jawatan Pengurus Pembangunan Perniagaan di bank terbabit.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Farez Rahman dan Mahadi Jumaat manakala tertuduh diwakili peguam T Vijaya Sandran.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menjalankan perbicaraan semua pertuduhan itu secara serentak dan membenarkan ikat jamin RM40,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Hakim turut mengenakan syarat tambahan kepada tertuduh supaya menyerahkan pasportnya ke mahkamah dan perlu melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 8:32 AM