MUSA ketika hadir di mahkamah. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
MUSA ketika hadir di mahkamah. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Murni Wan Omar


BEKAS Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 16 pertuduhan membabitkan diri dengan pengubahan wang haram berjumlah AS$37.8 juta (kira-kira RM154 juta) dan S$2.5 juta (kira-kira RM7.5 juta), 13 tahun lalu.

Musa mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan mohon dibicarakan selepas ia dibacakan hadapan Hakim Rozina Ayob.

Bagi pertuduhan pertama, Musa didakwa membabitkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard Christopher Barnes untuk membuka akaun di Bank UBS AG Singapura bagi menerima hasil aktiviti haram.

Tertuduh juga didakwa atas pertuduhan alternatif membabitkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard untuk menyembunyikan wang hasil aktiviti haram miliknya.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Bank UBS AG, Singapura pada 21 Jun 2006.

Bagi pertuduhan kedua sehingga ke 15, tertuduh didakwa membabitkan diri secara tidak langsung dengan pengubahan wang haram dengan menerima sejumlah wang daripada beberapa individu dan syarikat yang mana ia adalah hasil dari aktiviti haram melalui akaun atas nama Richard.

Tertuduh didakwa menerima wang berjumlah AS$37.8 juta dan S$2.5 juta yang didakwa diterima daripada tiga individu iaitu Chia Tien Foh, Lo Man Heng, Mazlan Zakaria, dan lima syarikat Young Generation Corp, Axon Group Ltd, Well Capital Finance Limited, Innovative Information Ltd dan Portland Trading Pte Ltd.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan antara 21 Jun 2006 sehingga 25 Mac 2008 di Bank UBS, AG di Hong Kong dan Singapura.

Bagi pertuduhan ke 16 pula, tertuduh didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard memindahkan semua aset dan kemasukan wang akan datang dari akaun (Richard) ke dalam akaun miliknya di Bank UBS AG Zurich.

Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun, dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan, atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran memohon supaya semua pertuduhan itu dibicarakan bersama dengan 35 tuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah berjumlah AS$63,293,924 (RM263,460,962.313).

Peguam Francis Ng Aik Guan tidak membantah perkara itu dan memohon supaya mahkamah mengguna pakai jaminan RM2 juta yang dikenakan terhadap tertuduh sebelum ini.

Mahkamah membenarkan untuk pertuduhan dibicarakan bersama dan membenarkan jaminan kes terdahulu diguna pakai.

Mahkamah juga menetapkan 15 Julai sehingga 26 Julai depan untuk perbicaraan.

Pada 5 November tahun lalu, Musa mengaku tidak bersalah atas 35 tuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah berjumlah AS$63,293,924 (RM263,460,962.313).

Musa didakwa memperoleh rasuah daripada lapan pemilik syarikat konsesi balak dan dituduh melakukan kesalahan itu di lapan institusi kewangan di Hong Kong serta Singapura antara 20 Disember 2004 hingga 6 November 2008.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 11(a), Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum bawah Seksyen 16 akta sama.

Ia membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan jika ia dapat dinilai dalam bentuk wang, atau denda RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 2:27 PM