AHMAD Dzulkifli . FOTO Ihsan Pembaca.
AHMAD Dzulkifli . FOTO Ihsan Pembaca.
Mohd Rashidi Yusuf.


Lenggong: Penghantar surat maut apabila motosikal ditunggang terlanggar seekor kera yang tiba-tiba melintas di Kilometer 37.2 Jalan Raya Kuala Kangsar - Gerik di Banggol Belimbing dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pada 5.20, mangsa, Ahmad Dzulkifli, 34, yang tinggal di Kampung Bukit Sapi dekat sini, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lenggong, akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Perak, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Lenggong menghala ke arah Kuala Kangsar.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal SYM VF3i terlanggar seekor kera yang melintas jalan raya secara tiba-tiba.

"Mangsa dipercayai tercampak di atas jalan raya dan dihantar ke Klinik Kesihatan Lenggong untuk rawatan awal, bagaimanapun meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan, pada 5.55 petang," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian permukaan jalan raya basah kerana hujan renyai-renyai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 5:14 PM