Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat laporan polis semalam supaya kes lelaki berusia 35 tahun yang dituduh melakukan jenayah liwat disiasat di bawah Kanun Keseksaan dilihat tepat supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat membuka kertas siasatan.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata, tindakan JAIS itu sebagai langkah permulaan selepas banyak pihak mendesak kes itu disiasat di bawah bidang kuasa polis.

Semalam, wakil JAIS membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang supaya kes berkenaan dapat disiasat di bawah Kanun Keseksaan.

Turut menyokong laporan dibuat JAIS adalah 21 badan bukan kerajaan (NGO) yang menggelar diri mereka Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) yang turut melakukan laporan di IPD yang sama, semalam.

Musa berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lalu berhubung dengan petisyen di bawah Artikel 4(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan yang difailkan lelaki beragama Islam yang dituduh dengan kesalahan cubaan melakukan persetubuhan di luar tabii di bawah seksyen 28 yang dibaca bersama dengan Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

"Tiada apa yang dapat dilakukan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah selepas keputusan Mahkamah Persekutuan.

"Saya melihat tindakan JAIS (buat laporan) supaya polis dapat bertindak di bawah bidang kuasa mereka," katanya.

Sebelum ini, PGSM menyuarakan kebimbangan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan itu yang dilihat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Musa berkata, keputusan kes lelaki itu lawan kerajaan Selangor itu memberi implikasi yang cukup besar terhadap perundangan syariah di negara ini.

"Keputusan ini memberikan implikasi yang cukup besar kepada perundangan syariah di negara ini khususnya dalam perkara berhubungan dengan kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kesalahan atau Jenayah Syariah Negeri," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof juga mahu kes itu disiasat polis di bawah Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 25 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan kesalahan jenayah liwat (seks di luar tabii) yang terkandung di dalam Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (EJS 1995) adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pemohon didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi.

Tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, dia mencabar peruntukan Seksyen 28 EJS 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal atau membicarakan jenayah liwat.

Berita berkaitan

21 NGO desak kes liwat disiasat di bawah Kanun Keseksaan [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 3:41 PM